Thursday, August 16, 2007

SEMANGAT AZEAN IRDAWATY

Dalam hidup manusia kena beringat. Itulah pesan bonda pada akak apabila pertama menerima bayaran mengadakan pertunjukkan makan malam lima tahun lalu. Bayaran sebagai artis baru waktu itu tidak besar mana, setakat RM35,000 aja.

Akak ketepikan separuh daripadanya untuk membiayai kerjaya akak dan separuh lagi akak simpan sekiranya berlaku kecemasan, macam untuk rawatan hospital atau membantu ahli keluarga sekiranya mereka berada dalam kesusahan. Biasalah hidup ini kita tidak tahu apa akan berlaku akan datang.

Macam juga cerita sedih yang berlaku kepada primadona filem Melayu, Azean Irdawaty. Akak simpati dengan Kak Yan, tetapi dalam waktu sama akak puji dengan semangatnya dalam melawan penyakit barah payu dara yang dideritai.

Dalam hal ini kita tidak tahu apa perancangan Tuhan kepada hambanya. Mungkin ini adalah dugaan yang diberi Tuhan kepada Kak Yan dan keluarga. Apapun ingin akak pesan pada Kak Yan dan kita semua bahawa setiap dugaan yang berlaku itu pasti ada rahmatnya.

Pada waktu sama akak bangga apabila ada antara rakan-rakan artis akak menunjukkan keprihatinan mereka dengan memberikan sumbangan dan derma bagi membolehkan Kak Yan menjalani rawatan kimoterapi yang terpaksa dilalui bagi membolehkan penyakit yang dideritai itu.

Tidak kurang juga ada yang menganjurkan pelbagai aktiviti dengan tujuan untuk mengutip derma. Setakat ini atas sumbangan diberikan itu membolehkan Kak Yan terus mendapat rawatan sekali gus membantu keluarganya. Lagipun sebelum ini Kak Yan memang menjadi punca utama pendapatan untuk menampung keperluan keluarga seharian.

Kerana harus menjalani rawatan pemulihan Kak Yan sendiri tidak boleh bekerja selama lapan bulan dan dalam waktu sama dia harus menyediakan sekurang-kurangnya RM80,000 untuk menampung kos rawatan terbaik bagi mengubati penyakit barah.

Bagaimanapun baru-baru ini sewaktu Kak Yan bertemu dengan rakan-rakan akak, dia ada mengadu mengenai pandangan serong orang ramai apabila dia tampil memberitahu mengenai jumlah wang diperlukan bagi membolehkan dia mengubati penyakit dideritai.

Lebih pedih ada yang berkata, itulah padahnya apabila tidak beringat, dan sekarang apabila sudah susah terpaksa meminta-minta. Teruknya ada yang cakap, Kak Yan hanya berlakon dan dia sebenarnya banyak duit. Kata mereka lagi, sebagai pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni dan sering menerima bayaran tinggi takkan dia tidak mempunyai simpanan apabila musibah berlaku.

Orang, Kak Yan! Memang boleh cakap macam-macam. Kalau akaklah berada dalam kedudukkan Kak Yan dah lama akak langsang dia orang. Selama ini apabila kita tidak makan, orang dekat luar sana ada datang membantu. Mereka menghina lagi ada. Tapi apabila kita susah begini, macam-macam cerca yang diberikan.

Kepada mereka yang berkata begitu satu saja yang akak nak pesan, hari ini hari Kak Yan tapi esok lusa datang masa kena batang hidung sendiri baru tahu. Sekurang-kurangnya apabila Kak Yan susah begini ada orang nak tolong, mereka itu ada ke tempat untuk mengadu dan meminta bantuan?

No comments: